BILIK2

Wednesday, May 15, 2013

Bergegaslah ke Masjid! Merebut Harta Warisan Nabi s.a.w !!




Pada suatu ketika, Abu Hurairah pernah keluar untuk pergi ke pasar, kemudian dia berkata, "Wahai para pedagang! Cepatlah kalian pergi ke masjid. Sesungguhnya harta warisan Nabi s.a.w sedang dibahagikan di sana!!. Mendengar itu, para pedagang pun segera bergegas ke masjid, tetapi ketika sampai di sana, mereka tidak menemukan sesuatu harta pun. Maka mereka berkata, "Kami tidak meneukan suatu apapun!?".Abu hurairah berkata. "Bagaimana hal itu boleh terjadi?".Mereka menjawab,"Kami telah masuk ke dalam masjid, tetapi kami tidak menemukan sesuatu apapun." Abu Hurairah berkata lagi, "lalu apa yang kamu temukan?". Mereka menjawab, "Kami dapati beberapa orang yang sedang berzikir kepada Allah s.w.t". Abu Hurairah berkata lagi, "Mereka itulah harta warisan Nabi s.a.w!!"..

Cepatlah! Bergegaslah ke masjid! Cintailah ia! Berzikirlah didalamnya! Jadilah harta warisan Rasulullah s.a.w!!.

Wallahuwaliyuttaufiq..

Monday, April 11, 2011

Perisai Rasulullah di Uhud


Umm 'Umara R.anha telah dirahmati dengan pelbagai kehormatan, antaranya adalah kehadiran beliau di Uhud, Hudaibiyyah, Khaibar, Hunain dan Peperangan Yamama. Namun peranan beliau yang paling mulia adalah ketika Peperangan Uhud. Umm 'Umara Ra.Anha telah menyertai peperangan tersebut bersama suaminya, Ghaziya, berserta dua orang anak lelaki beliau. Tugas yang dipertanggungjawabkan ke atas beliau adalah untuk memberi air kepada para Mujahid yang cedera. Akan tetapi Allah SWT telah menetapkan satu peranan yang lebih besar dan mulia untuk beliau.

Maka beliau pun mengatur langkah bersama-sama dengan keluarga beliau dengan sebuah bekas kulit buat mengisi air. Mereka tiba di medan perang pada awal pagi hari. Tentera Islam, ketika itu, sedang menguasai peperangan dan beliau telah pergi melihat keadaan Rasulullah SAW. Pada masa yang sama sebilangan Tentera Islam telah membuat satu kesilapan yang teramat besar - melihatkan tentera Quraish berundur, mereka mula berkejaran mendapatkan harta-benda rampasan perang, melanggar arahan Rasulullah SAW supaya tetap di posisi mereka di atas bukit. Khalib bin Walid, (yang ketika itu belum lagi memeluk Islam), apabila melihat benteng pertahanan yang telah terbuka itu lantas mengepalai serangan-balas ke atas Tentera Islam. Penguasaan peperangan beralih kepada pihak Quraish. Dalam suasana kelam-kabut itu, ramai dari kalangan Tentera Islam panik dan berundur, meninggalkan Rasulullah SAW bersama-sama sekumpulan kecil para Sahabat RA. Di kalangan mereka ini termasuklah Umm 'Umara.

Melihatkan ramai dari kalangan Tentera Islam yang berundur, Umm 'Umara lantas berlari ke arah Rasulullah SAW dan mengangkat senjata demi mempertahankan baginda SAW, bersama-sama dengan suami dan kedua anak lelakinya. Rasulullah SAW menyedari yang Umm 'Umara tidak mempunyai perisai lantas baginda SAW mengarahkan salah seorang daripada mereka yang sedang berundur supaya memberikan perisainya kepada Umm 'Umara yang sedang bertarung. Setelah mendapat perisai tersebut, Umm 'Umara mempertahankan Rasulullah SAW menggunakannya bersama-sama dengan busur, anak panah dan juga pedang. Umm 'Umara diserang oleh tentera berkuda tetapi beliau tidak sekalipun gentar atau berasa gerun. Beliau kemudiannya telah berkata, "Sekiranya mereka itu tidak berkuda seperti kami, nescaya telah kami hancurkan mereka, insha-Allah."

Abdullah ibn Zayed, anak lelaki beliau, telah mengalami kecederaan ketika peperangan tersebut. Lukanya itu berdarah dengan banyak sekali. Ibunya berlari kepadanya dan membalut lukanya itu. Kemudian Umm 'Umara memerintahkan anak lelakinya itu, "Maralah dan perangi mereka, anakku!" Rasulullah SAW mengagumi semangat pengorbanan beliau dan telah memuji beliau, "Siapakah yang boleh menanggung apa yang kamu mampu tanggung, Umm 'Umara!"

Tiba-tiba lelaki yang telah mencederakan anak lelakinya mara dan Rasulullah SAW berkata kepada beliau bahawa inilah lelaki yang mencederakan anaknya. Umm 'Umara dengan berani mencabar lelaki tersebut, yang menurut anak Umm 'Umara sendiri, adalah seperti perdu pokok yang besar. Umm 'Umara mencederakan kaki musuhnya itu, menjatuhkannya sehingga berlutut. Rasulullah SAW tersenyum sehingga menampakkan gigi baginda SAW dan berkata, "Kamu telah membalasnya, Umm 'Umara!" Setelah lelaki tersebut ditewaskan, Rasulullah SAW kemudiannya berkata "Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kamu kemenangan dan menggembirakan kamu atas musuh kamu dan membolehkan kamu menuntut bela."

Pada satu ketika, Rasulullah SAW telah keseorangan. Melihat peluang keemasan itu, pihak musuh, Ibn Qumay'a segera menyerang Rasulullah SAW sambil menjerit "Tunjukkan Muhammad padaku! Aku takkan selamat sekiranya dia diselamatkan!". Lantas Mus'ab ibn 'Umayr, bersama-sama dengan beberapa orang sahabat yang lain, bergegas mempertahankan Rasulullah SAW. Umm 'Umara yang turut bersama-sama dengan mereka terus menetak musuh Allah itu, walaupun dia memakai dua lapis baju besi. Ibn Qumay'a berjaya menetakkan bahagian leher Umm 'Umara, meninggalkan luka yang teruk. Rasulullah SAW terus memanggil anak lelaki Umm 'Umara, mengarahkannya membalut luka ibunya sambil mendoakan kerahmatan dan kesejahteraan ke atas mereka dan menyatakan kemuliaan mereka. Umm 'Umara, bila menyedari yang Rasulullah SAW menyukai kesungguhan dan keberanian beliau, lantas meminta Rasulullah SAW supaya berdoa agar mereka dijadikan Allah di kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW di syurga nanti. Selepas Rasulullah SAW berdoa, Umm 'Umara lantas berkata, "Aku tidak pedulikan apa sahaja yang menimpaku di dunia ini!"

Pada hari tersebut, Umm 'Umara menerima tiga belas luka dan luka di lehernya terpaksa dirawat selama setahun. Beliau kemudiannya juga menyertai Peperangan Yamama, di mana beliau menerima sebelas luka dan kehilangan tangan.

Keberanian Umm 'Umara menyebabkan semua para Sahabat RA mennghormati beliau, terutamanya para Khalifah yang akan menziarahi beliau dan sentiasa mengambil berat tentang keadaan beliau. Umar ibn Khattab RA telah menerima kain-kain sutera yang sangat bagus buatannya. Salah seorang yang berada di situ berkata bahawa kain tersebut sangat mahal dan Umar RA patut memberikannya kepada isteri Abdullah ibn Umar, Safiyya bint Abu 'Ubayd. Umar RA walaubagaimanapun tidak mahu memberikan kain yang sedemikian kepada menantunya. "Ini adalah sesuatu yang tidak akan kuberikan kepada ibn Umar. Aku akan berikannya kepada seseorang yang lebih berhak keatasnya - Umm 'Umara Nusayba bint Ka'b." Umar RA kemudian menceritakan bagaimana ketika Peperangan Uhud, beliau mendengar Rasulullah berkata bahawa apabila baginda SAW melihat ke kiri mahupun ke kanan, baginda nampak Umm 'Umara sedang bertarung di hadapan baginda SAW.

Inilah kehidupan Umm 'Umara, pejuang yang tetap berdiri apabila ramai yang berundur, yang mengarahkan anaknya yang cedera parah kembali menyertai peperangan yang sengit, dan yang bersedia menggadaikan nyawanya demi menyelamatkan Rasulullah SAW. Sebagai balasan, beliau menerima doa agar dijadikan di kalangan sahabat Rasulullah SAW di syurga.

Moga Allah SWT merahmati para Muslimah kita dengan keberanian, semangat pengorbanan dan istiqamah yang sedemikian.

Uzlah Orang Biasa..

"TIADA SESUATU YANG SANGAT BERGUNA BAGI HATI SEBAGAIMANA UZLAH UNTUK MASUK KE MEDAN TAFAKUR"
Alhikam-12, Sheikhuna Ibnu Athaillah Assakandari.

Dalam kehidupan ini, manusia tidak lepas dari sebarang permasalahan. Seringkali, bila selesai sesuatu masalah, masalah lain menyusuli. Terkadang manusia dalam mencari solusi terhadap masalah yang melanda, timbul pula masalah optional, rantaian dari masalah pokok, iaitu kebuntuan aqal dalam mencari solusi masalah.

Doktor kadangkala buntu aqalnya bila berhadapan dgn penyakit yang jarang ditemui. Guru merasa rimas dan buntu dalam mendidik pelajarnya menggapai pelangi kejayaan. Si ayah luluh jiwanya mengenangkan kenakalan dan buruk adab sang anak. Pekerja pejabat merasakan stress dengan timbunan kerja yang melelahkan. Ketua negara tak mampu melelapkan mata kerana masalah negaranya belum selesai. Student universiti, dalam menyelesaikan kerja kursus yang diamanahkan oleh pensyarah, terkadang menemui kebuntuan untuk menyiapkan kerja kursus tersebut. Para saintis pula buntu aqalnya bila berhadapan dengan sesuatu yang diluar logik aqalnya. Ini merupakan contoh-contoh masalah yang dihadapi segelintir manusia. Masing-masing dengan permasalahan tersendiri.

Ketahuilah bahawa kerunsingan,resah gelisah , luluh jiwa dan stress yang dihadapi dalam menghadami masalah kehidupan adalah berpunca dari kebuntuan aqal dan hati yang sentiasa berbolak balik. Yang mana hati itu sememang fitrahnya sentiasa berbolak balik. Sabda Rasulullah SAW maksudnya:"Sesungguhnya hati itu terlebih dahsyat bolak baliknya daripada periuk yang berada di atas api, bilamana menggelegak sesuatu didalamnya".


Kalam Hikmah dari Sheikhuna Ibnu Athaillah As Sakandari diatas memberi petunjuk kepada orang yang gagal mencari jawapan dengan kekuatan akalnya. Yang tidak tenang hatinya. Jalan yang disarankan ialah uzlah atau mengasingkan diri dari orang ramai. Jika dalam suasana biasa akal tidak mampu memecahkan kubu kebuntuan, dalam suasana uzlah, hati mampu membantu akal untuk bertafakur, merenungi perkara-perkara yang tidak mampu difikirkan oleh akal kerana pengaruh luaran ketika berada dalam kehidupan seharian dan menjalankan aktiviti kebiasaan.

Apakah itu Uzlah?

Umumnya, pengertian uzlah itu dari sudut bahasa ialah menjauh dan menghindar dari sesuatu (ta'azzala anissyai'i).Muhammad Abdullah Darraz dalam bukunya 'Dustur al-Akhlaq fi al-Quran' berpendapat bahwa uzlah merupakan pengasingan diri yang dilakukan oleh seseorang ke tempat sunyi,di dalam kota ataupun di luar. Hal ini dilakukan kerana menurutnya penduduk kota tidak berprilaku baik, sehingga boleh membuatkannya terjebak dan terpengaruh,jika tidak menghindarinya. Uzlah yang dilakukan tidaklah berlaku selamanya, iaitu apabila sudah merasa mantap dan bersedia untuk kembali pada masyarakat, maka ia harus kembali.

Pada pengertian ini haruslah difahami, bahawa uzlah ialah suatu cara untuk menenangkan kecelaruan hati dan aqal seseorang yang berpunca dari pengaruh keadaan setempat, yang penuh dengan kepelbagaian ragam manusia sekelilingnya yang boleh mempengaruhi jiwa dan aqal untuk cenderung kepada unsur-unsur negatif.Dimana, unsur-unsur negatif inilah yang membawa segala masalah dan kebuntuan aqal dalam menanganinya.

Pembahagian Uzlah

Dalam konsep tasawwuf yang menurutku lebih dekat pada pengertian uzlah. uzlah itu ialah:

" Sunyi dengan Allah dalam kesibukan dunia, Sibuk dengan Allah dalam kesunyian dunia"

Dalam pengertian ini, uzlah dibahagikan kepada dua bahagian.


1.Uzlah hati (sunyi dengan Allah dalam kesibukan dunia)

Secara fizikalnya kita tidak mengasingkan diri dari orang ramai, bahkan kita selalu hadir dalam aktiviti hidup seharian kita dan aqal kita tetap bekerja bersama orang lain sebagaimana biasa, namun hati kita harus tetap sunyi dari itu semua. Hati kita harus tetap sunyi, yang ada hanyalah ingatan kita kepada Allah. Jadi uzlah kita dalam kesibukan dunia adalah dengan mengosongkan hati dari kesibukan dunia itu sendiri sehingga menjadi sunyi dan hanya Allah yang hadir di dalamnya, sehingga sunyinya adalah bersama Allah. Semestinya, seharusnya dan idealnya uzlah yang seperti itu berjalan terus menerus tanpa batasan waktu sebagaimana para arifin yang telah mencapai kekekalan dalam penyaksian mereka kepada Allah.


2. Uzlah hati dan jasad (sibuk dengan Allah dalam kesunyian dunia)

Ketika seseorang sedang bersendirian, berada di suatu tempat yang sepi, sejenak menarik diri dari kesibukan atau pun memang sengaja berniat uzlah dengan mengasingkan diri [dengan syarat,izin dan petunjuk dari guru yang mursyid] maka ketika dalam kesunyian itu, hatinya harus sibuk dengan mengingati Allah di dalamnya. Dalam kesunyian itu, di sana pasti selalu ada Allah disamping anggota tubuh menjalani ibadah-ibadah yang zahir seperti solat,membaca AlQuran berzikir dan lain-lain. Hati dan jasad 'bekerja' untuk Tuhan seia sekata, tanpa ada kerja yang lain daripada ibadah, yang tidak dapat dilakukan ketika berada dalam keramaian manusia.

Uzlah hati dan jasad ini adalah yang menepati apa yang dikehendaki oleh Sheikhuna Ibnu Athaillah dalam kalam hikmah ini. Aktiviti uzlah ini bukanlah uzlah sebagai satu cara hidup yang berterusan tetapi ia adalah satu bentuk latihan kerohanian bagi memantapkan rohani agar akalnya dapat menerima pancaran Nur Qalbi kerana tanpa sinaran Nur Qalbi tidak mungkin akal dapat memecahkan kebuntuan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Bagi para sufi, uzlah membantu jiwa dan aqal bagi memahami hal-hal ketuhanan yang halus-halus, bagi memperolehi iman dan tauhid yang hakiki

Natijah Uzlah

Natijah atau faedah uzlah menurutku dapat dirasakan pada dua keadaan. Pertama, ketikamana sedang menjalani penguzlahan. Antaranya sepertimana yang disebutkan oleh Imam Alghazali dalam kitabnya yang masyhur iaitu 'Ihya Al Ulumuddin',iaitu hati menjadi tenteram dan senang menjalankan hak-hak pengabdian tanpa ada unsur-unsur luar yang mengganggu perjalanan ibadah. Selain itu, diri ini dapat terhindar dari dari melakukan larangan-larangan Allah yang biasanya dilakukan oleh orang ramai disebabkan pergaulan seperti riya’, mengumpat meninggalkan perintah membuat kebajikan dan menjauhi dari melakukan kemungkaran, meniru-niru tabiat dan akhlak yang buruk atau perbuatan-perbuatan yang jelek dari kawan-kawan yang jahat atau seumpamanya.

Kerana perkara-perkara sebegitulah yang menjauhkan kita daripada Allah. 'Jauh dari Allah', itulah sebenar-benarnya punca segala masalah. Inilah sebab utama yang mengakibatkan kebuntuan dalam menangani masalah kehidupan.Sedangkan Allah SWT telah berfirman yang bermaksud " Tidaklah Allah memberatkan diri (seseorang itu) kecuali barang apa yang mampu ditanggungnya"(AlBaqarah:286)

Natijah kedua yang dapat dirasai setelah kembali kepada kehidupan kebiasaan selepas menjalani latihan penguzlahan. Dengan latihan uzlah yang berkualiti, menghasilkan hati dan aqal yang bercahaya, disimbahi nur keimanan. Hati yang sangat tenteram, tenang dan damai. kerana disana (hati) berada 'beserta' Tuhannya. Latihan kerohanian dan amal ibadah yang dijalani dalam uzlah, memberi bekas padanya (hati). Dengan hati dan aqal yang sebegini, bila kembali kepada kehidupan sehariannya, dapatlah menghadapi segala permasalahan hidup. hati menjadi tetap dengan pendirian. Aqal pula melangkah ketahap kewarasan yang mutlak,mampu bertafakkur membuat perkiraan yang bernas dan penuh berhikmah, kerana Nur Ilahi menjadi sumber kepada ketajaman aqal dan ketenangan hati.

Begitulah kekuatan dan kebijaksanaan yang lahir dari latihan semasa uzlah. Tanpa latihan dan persiapan yang cukup seseorang tidak dapat masuk ke dalam medan tafakur aqalnya dalam keadaan yang tenteram. Orang yang masuk ke dalam medan ini tanpa persediaan dan kekuatan akan menemui kebuntuan. Jika dia masih juga merempuh tembok kebuntuan itu dia akan berisiko besar jatuh ke dalam jurang kegilaan.

Uzlah Kita...Orang Biasa

Orang yang insaf dan menyedari akan kepentingan uzlah akan mengikuti jalan yang dipelopori oleh Rasulullah s.a.w dan diikuti oleh para sahabat ini iaitu memisahkan diri dengan semua jenis kesibukan terutamanya pada satu pertiga malam yang akhir.Ini adalah salah satu uslub kita beruzlah. Disiang hari, kita sibuk menjalani kehidupan sehari-hari, bekerja memenuhi keperluan untuk hidup didunia. Dimalam hari, kita bersunyi-sunyian dengan Allah S.W.T. Bertahajjud, berzikir, berdoa.Ketika itu, Tidak ada hubungan dengan orang ramai. Tidak dikunjung dan tidak mengunjungi. Tidak ada surat khabar, radio dan televisyen. Tidak ada perhubungan dengan segala sesuatu kecuali perhubungan dengan Allah s.w.t.


Kita juga sebagai nanusia,yang beriman kepada Allah diperingatkan supaya mengurangkan kecenderungan hati berhubungan dengan kehidupan dunianya semata-mata dan menumpukan hubungan hati kepada Allah s.w.t . kerana inilah kunci dalam menyelesaikan segala kebuntuan. Lihat saja Rasulullah SAW dan para Sahabat R.anhum. Hati mereka tidak berpisah lagi dengan Allah s.w.t setelah memperolehi iman, walau jasad mereka sibuk mengurus permasalahan dunia. Mereka mampu menyelesaikan masalah dengan tenang kerana hati mereka disimbahi Nur Ilahi. Kesibukan menguruskan urusan harian tidak membuat mereka lupa kepada Allah s.w.t walau satu detik pun.Pendek kata, Jasad bersama insani, Hati bersama Ilahi.

Kepenatan dan keletihan sememangnya adat dalam melaksanakan pengabdian.Sememangnya memerlukan mujahadah yang berterusan. Namun ingatlah akan janji Allah pada firmanNya yang bermaksud: "Sekiranya kamu menolong Allah (pada urusan agama), nescaya Allah akan menolong kamu..". Dalam firmanNya lagi maksudnya:"Dan (orang beriman) yang bersungguh-sungguh atas (jalan) Kami, pastilah akan Kami bukakan jalan-jalan (rahsia-rahsia) Kami..".

Maka..Jika kamu memikirkan tentang dirimu dan menyedari tujuan hidupmu sebagai hamba, maka beruzlahlah!. Jika kamu memikirkan tentang dirimu dan menyedari tugasmu sebagai khalifah yang memakmurkan bumi ini dan menyelesaikan sekalian masalah diri dan umat manusia, maka beruzlahlah!.Kerana..."TIADA SESUATU YANG SANGAT BERGUNA BAGI HATI SEBAGAIMANA UZLAH UNTUK MASUK KE MEDAN TAFAKUR"

Thursday, March 31, 2011

Tanpa Cinta, Segalanya Tak Bernilai



Jika engkau bukan seorang pencinta, maka jangan pandang hidupmu adalah hidup. Sebab tanpa Cinta, segala perbuatan tidak akan dihitung pada Hari Perhitungan nanti. Setiap waktu yang berlalu tanpa Cinta, akan menjelma menjadi wajah yang memalukan dihadapanNya.

Burung-burung Kesedaran telah turun dari langit dan terikat pada bumi sepanjang dua atau tiga hari. Mereka merupakan bintang-bintang di langit agama yang dikirim dari langit ke bumi. Demikian pentingnya Penyatuan dengan Allah dan betapa menderitanya Keterpisahan denganNya.

Wahai angin, buatlah tarian ranting-ranting dalam zikir hari yang kau gerakkan dari Persatuan. Lihatlah pepohonan ini ! Semuanya gembira bagaikan sekumpulan kebahagiaan. Tetapi wahai bunga ungu, mengapakah engkau larut dalam kepedihan ? Sang lili berbisik pada kuncup : “Matamu yang menguncup akan segera mekar. Sebab engkau telah merasakan bagaimana Nikmatnya Kebaikan.”

Di manapun, jalan untuk mencapai Kesucian Hati adalah melalui Kerendahan Hati. Hingga dia akan sampai pada jawaban “YA” dalam pertanyaan : “Bukankah Aku ini Rabbmu ?”