BILIK2

Showing posts with label Fiqh. Show all posts
Showing posts with label Fiqh. Show all posts

Thursday, January 6, 2011

zikrullah secara menari-nari?


SOALAN : Bolehkah laku zikrullah secara menari-nari?

SELESAI satu ceramah di masjid kami, dalam isu zikrullah ada seorang bertanya penceramah, bolehkah majlis zikrullah dilakukan dalam keadaan berdiri dan menari-nari macam bekhayal-khayalan seperti yang pernah dilakukan oleh sesetengah golongan tarikat sufi. Penceramah tersebut secara spontan menjawab: Rasa saya itu adalah haram, mana boleh zikrullah yang begitu murni dicampurkan dengan tarian, tarian itu haram. Kami menjadi keliru, minta pandangan Dato’, terima kasih.

JEMAAH RAGU,
Sepang

JAWAPAN oleh Dr Harun Din:

SETIAP soalan memang ada jawapan. Jawapan itu bergantung kepadaa pengetahuan yang ada pada penjawabnya.

Kadang-kadang ada yang mengikut ‘rasa’, seperti soalan anda di atas, penjawab itu berkata rasanya tidak boleh. Mungkin juga ada orang lain yang akan menjawab rasanya boleh.

Jawapan bagi persoalan agama bukan boleh dimain dengan ‘rasa’. Ia memerlukan sandaran hukum yang perlu dirujuk kepada sumber yang sahih.

Berkenaan dengan zikrullah, Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.’” (Surah ‘Ali-’Imran ayat 191).

Ayat ini memberi isyarat bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya.

Ummul Mukminin Aisyah r.ha. pernah melaporkan bahawa Rasulullah SAW berzikrullah (berzikir kepada Allah) dalam semua keadaan. Sedang berjalan, menaiki kenderaan, di atas kenderaan, berbaring, duduk dan bermacam lagi pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Dalam satu riwayat pernah diceritakan bahawa Jaafar bin Abi Talib r.a (sepupu Rasulullah), pernah menari-nari melenggok lentuk di hadapan Rasullullah SAW sebaik sahaja beliau mendengar Rasulullah SAW menyebut kepada beliau, “Allah menjadikan rupa parasmu seiras dengan Allah menciptakan daku.”

Mendengar kata-kata yang seindah dan semurni itu, terus dita’birkan dengan menari-nari di hadapan Rasullullah SAW. Tingkah laku beliau itu atau ‘body language’ beliau tidak ditegah atau ditegur oleh Rasulullah SAW.

Di sinilah dikatakan atau dijadikan asal usul sandaran bahawa menari-nari sambil berzikir kepada Allah yang dilakukan oleh ahli tarikat atau golongan sufiyah, ada sandarannya.

Sahlah berlaku tarian di majlis zikir yang dihadiri oleh ulama besar yang muktabar. Antara mereka ialah al-Imam Izzuddin Abdus Salam dan tidak diengkarinya.

Ditanya Shaikhul Islam Sirajuddin al-Balqini tentang persoalan tari-menari dalam majlis zikir, lalu dijawab beliau dengan mengiyakannya, yakni boleh dilakukan.

Ditanya al-A’llamah Burhanuddin al-Abnasi, perkara yang sama, maka beliau menjawab dengan membolehkannya.

Ditanya ulama besar dalam mazhab Hanafi dan Maliki, semuanya menjawab, “Tidak mengapa dan boleh dilakukan.”

Semua jawapan ini dibuat dengan bersandarkan kepada ayat dalam Surah ‘Ali-’Imran di atas berserta hadis yang diriwayatkan oleh Jaafar bin Abi Talib r.a.

Adapun tarian yang dilarang adalah tarian yang bercampur lelaki perempuan yang bukan mahram, lebih-lebih lagi ia diadakan dalam majlis yang kemaksiatannya ketara seperti berpakaian tidak menutup aurat, diiringi dengan muzik dan suasana yang mengundang kepada syahwat dan lain-lain.

Itulah yang disebut haram. Haram bukan soal tarian, tetapi dilihat dari aspek persembahan, suasana dan dilihat dengan jelas kemaksiatan.

Adapun tarian dalam zikrullah, adalah tarian khusus yang lahir daripada rasa kesyahduan kepada Allah, dengan kelazatan munajat dan bertaladdud (berseronok kerana zikrullah).

Perasaan seronok dan lazat itu yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya, merupakan anugerah Allah kepada mereka.

Mereka hendak menunjukkan bahasa badan (body language) mereka dengan menari-nari tanda keseronokan, tetapi dibuat kerana Allah SWT.

Inilah yang disebut di dalam Al-Quran (mafhumnya): “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28).

Ketenangan adalah suatu kenikmatan. Hendak menghargai kenikmatan itu adalah sesuatu yang boleh dita’birkan dengan isyarat, dengan kata-kata, dengan bahasa badan yang dijelmakan dalam bentuk tarian untuk menyatakan kesyukuran dan kenikmatan yang mereka perolehi hasil anugerah Allah.

Atas itulah pada pendapat saya bahawa tarian dalam majlis-majlis sufi itu adalah harus.

Untuk menyatakan haram atau tidak boleh memang mudah, tetapi harus disandarkan kepada dalil. Jika tidak ada dalil atau hujah, berbaliklah kepada hukum fekah bahawa, “Asal semua perkara adalah harus sehingga ada dalil yang membuktikannya haram.”

Oleh itu berzikrullah yang difahami dari ayat al-Quran di atas, hadis Rasulullah SAW dan pandangan ulama muktabar, maka saya menyatakan ia harus dan bukanlah haram.

Wallahu ‘alam.

HURAIAN TENTANG PERKATAAN IMAM SYAFIE

Telah berkata Imam As Syafi'e Rah.

اذا صح الحديث فهو مذهبى


Di dalam kitab Al-majmuk ada menerangkan pengertian sebenar perkataan Imam Syafie r.mh :

i. Tiadalah bermaksud bahawa seseorang yang melihat hadis sahih lantas dia berkata ini adalah mazhab Syafie dan beramal dengan zahir hadis.

ii. Tidak juga perkataan ini ditujukan kepada mereka yang tidak sampai kepada darajat ijtihad yang mana apabila menemui hadis sahih terus beramal dengannya.

iii. bahkan makna perkataan ini ditujukan kepada mereka yang sampai darajat ijtihad tetapi hendak beramal dengan hadis sahih yang ditemui ada beberapa syarat:-

a. Setelah ia(mujtahid) meneliti sekelian kitab Imam syafie dan sekelian kitab ulama mazhab Syafie

b. Kuat pada sangkaannya bahawa Imam Syafie tidak menemui hadis sahih itu.

Banyak hadis sahih yang telah sampai kepada Imam Syafie atau yang dia mengetahui tetapi dia tidak beramal dengan zahir hadis itu kerana Imam Syafie mengeluarkan hukum daripada hadis yang terlebih rajih daripadanya . Terkadang hadis itu mansukh (hadis yang dibatalkan hukum) atau ada hadis yang lain mentakhsiskan atau Imam Syafie telah mentakwil (mengambil makna yang lain selain daripada makna yang sebenar) hadis itu atau lainnya .

Ada setengah orang menyebut bahawa perkataan ini ditujukan kepada Ashab (anak murid ) Imam Syafie iaitu Imam Muzani Dan Imam Buwaiti ketika mereka mengemukakan pertanyaan ” yang mana satu hendak dipegang antara dua perkataan Imam Syafie iaitu Qaul Qadim (pendapat Imam Syafie semasa di Baghdad) atau Qaul Jadid (pendapat imam Syafie semasa di Mesir). Maka Imam Syafie memberi jawapan dengan berkata
اذا صح الحديث فهو مذهبى .

Oleh kerana itu perkataan Imam Syafie tersebut dibahaskan di dalam Muqaddimah Majmuk Imam Nawawi sebelum beliau masuk kepada tajuk
فصل كل مسئلة فيها قولان للشافعى رحمه الله قديم و جديد .

(ertinya: “Fasal bagi setiap masalah feqah ada padanya dua pendapat di sisi Imam Syafie r.h.m iaitu qaul qadim dan qaul jadid.”)

Disana juga ada terdapat masalah-masalah yang wajib di pegang atau diamalkan mengikut kaul qadim sedangkan kaedah asal kita wajib beramal dengan kaul jadid.

Peringatan:

Mazhab Shafie mempunyai ulama-ulama mujtahid tersendiri yang telah menjaga mazhab ini dengan berpandukan kaedah-kaedah Imam Syafie. Jika diandaikan bahawa Imam Syafie tidak menemui sesebuah hadis yang sahih untuk menerangkan sesuatu hukum, maka merekalah yang terlebih mampu dalam penyelidikan tersebut. Sesungguhnya telah maklum bahawa hukum-hakam dalam mazhab Syafie telahpun lengkap dengan dalil-dalil yang diutarakan di dalam kitab-kitab muktabar mereka itu.

http://www.al-bakriah.com.my

Hukum mentajhizkan mayat bayi yang keguguran dan mati kecil.



1.(dan adapun) kanak-kanak yang gugur iaitu kanak-kanak yang gugur ia pada hal belum sempurna enam bulan masa kandungannya, maka hukumnya jika tiada zahir padanya tanda hidupnya dan tiada zahir pula kejadian anak Adam, maka tiada wajib atas kita suatu daripada yang empat perkara itu. Tetapi sunat dibalut akan dia dengan kain dan ditanam akan dia.

2. (dan) jika tiada zahir padanya tanda hidupnya tetapi ada zahir padanya kejadian anak Adam, maka wajib atas kita kerjakan padanya 3 perkara yang lain daripada sembahyang dan haram disembahyangkan atasnya.

3. (dan jika ada zahir) padanya tanda hidup seperti bersuara atau bergerak-gerak kemudian daripada keluarnya dan jika kurang daripada empat bulan masa kandungannya itu sekalipun, maka iaitu seperti orang yang besar jua, maka wajib kita kerja daripadanya empat perkara yang tersebut itu.

4. (adapun) kanak-kanak yang diperanak akan dia kemudian daripada enam bulan masa kandungannya, maka wajib kita mandi akan dia dan dikapan akan dia dan sembahyangkan atasnya dan ditanam akan dia jikalau keluar ia pada hal mati dan jika tiada zahir padanya kejadian anak Adam sekalipun, jika diketahui akan dia anak Adam kerana keluar ia daripada takrif gugur.

-nukilan dari kitab Hidayatus Shibyan m.s 28 . - Tuan Husin Kedah.

Bid‘ah Mengikut Ahlul Sunnah wal Jamaah.

Oleh: Sheikh DR. Gibril Fouâd Haddâd

Tulisan ini terbahagi kepada dua bahagian:

I. Definisi Bid‘ah oleh Imam al-Shafi’e (ra).

II. Pembahagian Bid‘ah di kalangan Ahlul Sunnah wal Jamaah dan selainnya.


I. Definisi Bid‘ah Mengikut Imam Shafi’e:
Sumbangan besar Imâm al-Shâfi`î (ra) dalam ilmu Usul al-Fiqh ialah pembahagian beliau terhadap makna ‘perkara baharu’ (al-bid‘ah) dan ‘perkara baharu yang diadakan’ (al-muhdathât) iaitu samada ‘baik’ atau ‘buruk bergantung kepada samada perkara itu selari dengan Shari‘at.


Ini diriwayatkan secara Sahih dari dua muridnya yang terkenal pada zaman akhir kehidupan beliau iaitu, pakar hadith Mesir, Harmala ibn Yahyâ al-Tujaybî dan al-Rabî` ibn Sulaymân al-Murâdî
:

Harmala menyebut, “Aku mendengar Imam al-Shâfi’e (r.a) berkata:

“Bid‘ah itu dua jenis (al-bid‘atu bid`atân)”.

“Bid‘ah yang dipuji (bid‘ah mahmûdah) dan bid‘ah yang dikeji (bid‘ah mazmûmah).
Apa yang selari dengan Sunnah itu dipuji (mahmûdah) dan apa yang bertentangan itu dikeji (mazmûmah).”1

Beliau menggunakan dalil dari kenyataan Saidina ‘Umar ibn al-Khattâb (r.a) kepada jemaah yang mengerjakan Sembahyang Terawih di bulan Ramadân dengan katanya:

“Alangkah cantiknya bid‘ah ini!”.

Al-Rabî` juga meriwayatkan kenyataan yang sama bahawa Imam Al-Shâfi`î berkata kepada kami:
‘Perkara baharu yang diada-adakan itu dua jenis (al-muh dathâtu min al-umûri darbâin):
Pertama, perkara baharu yang bercanggah dengan al-Qur’an atau Sunnah atau athar Sahabat atau ijmâ’ para ulama’, maka bid‘ah itu adalah sesat (fa hâdhihi al bid‘atu dalâlah).

Kedua, ialah perkara baharu yang diadakan dari segala kebaikan (mâ uhditha min al-khayr) yang tidak bertentangan dengan mana- mana pun di atas, dan ini bukan bid‘ah yang dikeji (wa hâdhihi muhdathatun ghayru madhmûmah).

`Umar (r.a) berkata terhadap sembahyang Terawih berjemaah di bulan Ramadhan:“Alangkah cantiknya bid‘ah ini!” bermaksud bahawa ‘perkara baharu’ yang
diada adakan yang belum ada sebelum ini, tetapi ianya tidak bercanggah dengan perkara
diatas (Al-Qur’an, Sunnah, athar Sahabat dan Ijma’).'”2

Oleh itu, Imam al-Shâfie telah meletakkan suatu kriteria asas, yang perlu digunakan dalam menjatuhkan hukum terhadap sesuatu ‘perkara baharu’. Sehubungan dengan itu Imâm al-Haytamî, Qâdî Abû Bakr Ibn al-`Arabî, dan Imâm al-Lacknawî seterusnya menyambung:

“Bid‘ah dari segi Shari‘atnya ialah apa jua perkara baharu yang diadakan yang bertentangan dengan hukum yang diturunkan Allah, samada berdasarkan dalil-dalil yang nyata atau pun dalil-dalil umum”. 3

“Hanya Bid‘ah yang menyalahi Sunnah sahaja yang dikeji”.4

“Bid‘ah ialah semua perkara yang tidak wujud dalam tiga kurun pertama Islam dan di mana ianya tidak mempunyai asas bersumberkan empat sumber hukum Islam”.5
Kesimpulannya, ianya tidak memadai bagi sesuatu perkara itu dikira ‘bid‘ah’ [dan sesat] hanya semata-mata kerana ianya ‘perkara baharu’; tetapi ianya perlulah juga dimasa yang sama bertentangan dengan Islam.

Al-Bayhaqî mengulas kenyataan al-Rabî :
"Begitu juga dalam hal perdebatan aqidah (kalâm) dengan pereka bid‘ah, apabila mereka ini mula mendedahkan perbuatan bid‘ah (penterjemahan ) dalam aqidah mereka kepada masyarakat awam. Walaupun kaedah kalam merupakan ‘perkara baharu’ namun ianya dipuji (mahmudah) kerana ianya bertujuan untuk mendedahkan kepalsuan pereka bid‘ah itu, seperti mana yang kita sebutkan sebelum ini.

Rasulullah dan begitu juga para Sahabat ditanya soalan berhubung dengan Qada’ dan Qadar, yang jawapannya sepertimana telah sampai kepada kita hari ini. Namun pada masa itu, para Sahabat sudah berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Rasulullah . Namun sebaliknya di zaman kita ini pereka bid‘ah tidak lagi berpuas hati dengan jawapan yang sampai kepada kita (daripada Rasulullah dan para Sahabat), dan mereka tidak lagi menerimanya. Oleh itu bagi menangkis serangan mereka, yang mereka sebarkan kepada umum, perlu bagi kita berhujah menggunakan kaedah pembuktian yang diterimapakai oleh mereka sendiri. Dan sesungguhnya kejayaan itu datangnya dari Allâh jua".6


Ini merupakan pembelaan Imâm al-Bayhaqî secara terang-terang terhadap keperluan kalâm dan sifatnya yang selari dengan tuntutan Sunnah demi mempertahankan [Islam] dari pereka bid‘ah. Pendirian yang hampir sama juga boleh dilihat dikalangan para Imam besar seperti Ibn `Asâkir, Ibn al-Salâh, al-Nawawî, Ibn al-Subkî, Ibn `Abidîn dan lain-lain.




II. Pembahagian Bid‘ah di kalangan ‘ulama’ Ahlul Sunnah wal Jamaah dan selainnya:


(a) Definisi Imam al-Ghazâlî.

Hujjatul Islâm Imam al-Ghazâlî ketika mengulas perbahasan berhubung dengan penambahan ‘titik’ pada huruf ayat-ayat al-Qur’an dengan katanya:
Hakikat bahawa ianya perkara baharu yang diadakan (muhdath) tidak menghalang ini semua. Berapa banyak perkara baharu yang diadakan tetapi ianya baik!, seperti mana sembahyang Terawih secara berjemaah. Ianya adalah antara bid‘ah Saidina`Umar (ra) tetapi ianya adalah bid'ah yang baik (bid‘ah hasana). Bid‘ah yang keji ialah yang bertentangan dengan Sunnah Rasulullah atau yang boleh membawa kepada perubahan Sunnah itu. 7


(b) Definisi Qâdî Abû Bakr ibn al-‘Arabî al-Mâlikî.

Qâdî Abû Bakr Ibn al-`Arabî ketika mengulas berhubung dengan bid‘ah berkata:

Ketahuilah! – Moga Allah menganugerahkan kamu ilmu! – bahawa bid‘ah itu ada dua jenis (al-muhdathâtu darbân):

(i) Perkara baharu yang diadakan yang tiada asas [agama] melainkan mengikut hawa nafsu sesuka hati. Ini ada jenis yang salah, dan
(ii) Perkara baharu yang diadakan selari dengan apa yang sudah disepakati. Seperti Sunnah para Khulafâ’ dan para Imam-imam besar. Perkara baharu yang diadakan dan bid‘ah bukanlah keji kerana ianya ‘baharu’ (muhdath) [baharu yang tiada sebelum ini] atau semata-mata dipanggil ‘bid‘ah’, dan tidak juga kerana maknanya! Allâh Yang Maha Agung berfirman:

“Tidak datang kepada mereka peringatan yang baharu (muhdath) dari Tuhan mereka” (21:2) dan Saidina `Umar (ra) berkata: “Alangkah cantiknya bid‘ah ini!”

Sebaliknya, bid‘ah yang bertentangan dengan Sunnah itu yang dikeji atau perkara baharu yang diadakan yang membawa kepada kesesatan itu yang dicela. 8


(c) Definisi Ibn Hazm al-Zahiri

Ibn Hazm al-Zâhirî berkata:
Bid‘ah dalam al-Din ialah apa jua yang datang kepada kita yang tiada disebutkan didalam al-Qur'ân dan Hadith Rasulullâh , melainkan seseorang itu diberi ganjaran pada sebahagiannya, dan mereka yang melakukannya dimaafkan jika mereka berniat baik. Di antaranya adalah yang diberi ganjaran dan dikira baik (h asan), apa yang pada asalnya diharuskan (“mâ kâna asluhu al-ibâha”) sepertimana yang diriwayatkan oleh Saidina`Umar (ra): “Alangkah baiknya bid‘ah ini!”Ia jelas merujuk kepada semua amalan kebaikan yang dinyatakan oleh nass (al-Qur’an dan Hadith) secara umum akan galakan melakukannya, walaupun amalan berkenaan itu tidak disebutkan dalam nass secara khusus. Di antaranya juga ada yang dikeji dan tidak dibolehkan apabila ada dalil-dalil yang melarangnya. 9


(d) Definisi Ibn al-Jawzi.

Ibn al-Jawzî menyatakan perkara yang sama dalam kitabnya Talbîs Iblîs:
“Ada sesetengah perkara baharu (muhdathât) diamalkan yang tidak berlawanan dengan Shari‘at atau menyalahinya, mereka [para Salaf] melihat ianya tidak mengapa untuk diamalkan, seperti tindakan Saidina Umar mengumpulkan orang bagi mendirikan sembahyang Terawih di bulan Ramad.ân, kemudian itu beliau berkata: `Alangkah baiknya Bid ‘ah ini!'”

(e) Definisi Ibn al-Athîr al-Jazarî.

Pakar perkamusan Ibn al-Athîr menyebut di dalam kitabnya, al-Nihâyah fî Gharîb al-Hâdîth wal-Athar menyebut:
"Bid‘ah itu ada dua jenis: bid‘ah yang berpetunjuk (bid‘atu hudâ) dan bid‘ah yang sesat (bid`atu dalâlah). Apa jua yang menyalahi perintah Allâh dan RasulNya : itu termasuk dalam perkara yang dikutuk dan dipersalahkan. Dan apa jua yang masuk dalam keumuman Allâh atau RasulNya perintahkan atau galakkan: maka itu termasuk dalam hal-ehwal yang dipuji. Apa jua yang tiada amalan sebelum ini seperti terlampau pemurah atau berbuat baik – seumpama itu termasuk dalam perlakuan dipuji. Tidak dibenarkan beranggapan perkara seumpama itu sebagai menyalahi Shari‘at kerana Rasulullah telah menyebutkan bahawa amalan sedemikian itu diberi ganjaran: “Sesiapa yang memulakan sesuatu amalan kebaikan dalam Islâm (man sanna fîl-islâmi sunnatan hasana) memperolehi ia ganjarannya dan ganjaran sekalian orang yang melakukannya”. Begitu juga sebaliknya Baginda bersabda sesiapa yang memulakan amalan jahat dalam Islâm (waman sanna fîl-islâmi sunnatan sayyi'atan) memikul dosanya dan dosa sekalian mereka yang melakukannya.”10


Begitulah apabila perlakuan itu bertentangan dengan apa yang diperintahkan Allâh dan RasulNya .... Dengan maksud inilah hadîth yang menyebut “setiap yang baharu itu sesat”11
sepatutnya difahami: maksud Baginda ialah, apa jua yang
bercanggah dengan asas-asas Shari‘at dan menyalahi Sunnah.12


(f) Klasifikasi Imam al-Izz Ibn `Abdul Salâm.

Shaykhul Islâm, Sultân al-`Ulâmâ' Imâm al-`Izz Ibn `Abd al-Salâm juga berkata berhubung dengan perkara yang sama:
Di sana ada beberapa jenis perkara baharu (bid‘ah). Pertama, ialah yang apa yang tidak dilakukan di awal kedatangan Islam namun Shari‘at nyatakannya sebagai terpuji atau wajib. Yang kedua lagi ialah yang tidak dilaksanakan di awal Islam namun Shari‘at mengharamkannya dan dibenci. Yang ketiga ialah perkara yang tidak dilakukan di awal Islam dan Shari‘at mengharuskan.13
Di tempat lain beliau menyebut bahawa Bid‘ah itu ada lima jenis, sama sepertimana
yang diputuskan para fuqaha dalam amalan perbuatan seeorang, iaitu: Wâjib,Harâm, Sunat (mandûb), Makrûh, dan Harus (mubâh).14


(g) Sokongan Imam Nawawî terhadap Klasifikasi Imam al-Izz , Sheikhul-Islâm, Imâm al-Nawawî menyebut:
Bid‘ah mengikut Shari‘at ialah mereka sesuatu yang tidak pernah wujud di zaman Rasulullah dan ianya dibahagikan kepada “baik” dan buruk” (wahya munqasimatun ilâ hasanah wa qabîh ah).
Sheikh, dan Imâm sekalian ilmu-ilmu Islam yang pelbagai yang disepakati kehebatannya iaitu, Abû Muhammad `Abdul-`Azîz ibn `Abdul Salâm – Moga-moga llâh mengasihaninya! – menyebut di akhir buku beliau, al-Qawâ`id [al-Kubrâ]:
“Bid‘ah itu terbahagi kepada perkara-perkara wajib (wâjibat), Haram(muharramat), Sunat (mandûbat), Makruh (makrûhat), dan Harus (mubâhat).
Jalan untuk menilai sesuatu Bid‘ah itu ialah dengan melihat berpandukan kaedah Shari’at (qawâ‘id al-sharî‘ah).

Jika ianya jatuh dalam kategori kewajiban (îjâb) maka jadilah ia Wajib, jika ia termasuk dalam keharaman maka jadilah ia Haram; jika digalakkan maka jadilah ia Sunat, dikeji maka jadilah ia Makruh dan seterusnya yang selainnya ialah Harus.15


(h) Sokongan al-Hafiz Ibn Hajar al-As-Qoolany terhadap Imam al-Izz.

Hâfiz Ibn Hajar berkata:
Akar kata perkataan ‘bid‘ah’ itu ialah sesuatu yang direka tanpa ada duluannya sebelum ini. Ianya digunakan dalam Shari‘at sebagai lawan kepada Sunnah, dan oleh itu dikeji. Jika diteliti, sekiranya ianya termasuk dalam apa yang digalakkan oleh Shari‘at, maka ia termasuk dalam bid‘ah baik (bid‘ah hasanah), dan jika ia termasuk dalam perkara yang dikeji maka ianya adalah bid‘ah buruk (mustaqbahah). Selain daripada itu ianya diharuskan (mubâh). Ianya juga boleh dibahagikan kepada lima kategori.16

(i) Ittifaq ‘Ulama’ berhubung Klasifikasi Imam al-Izz.
Para ulama’ dalam empat Mazhab bersetuju dengan klasifikasi lima hukum bagi Bid‘ah yang dibuat oleh Imam al-Izz sepertimana yang telah disebutkan di atas, dengan turut dipersetujui oleh majoriti besar para ‘ulama’ terkemudian setiap Mazhab seperti berikut:

(1) Di kalangan ‘ulama Mazhab Hanafî: al-Kirmânî, Ibn `âbidîn, al-Turkmânî, al-`Aynî, dan al-Tahânawî.17

(2) Di kalangan ‘ulama Mazhab Mâlikî: al-Turtûshî, Ibn al-Hâjj, al-Qarâfî, dan al-Zurqânî, kecuali al-Shâtibî yang cuba menafikannya dengan mendakwa klasifikasi Imam al-Izz itu sebagai “bid‘ah tanpa ada dalil dalam Shari ‘at”!.18
I`tisâm Imam al-Shâtibî' telah diedarkan semula oleh dua tokoh Wahabi: Rashîd Ridhâ dan kemudiannya Salîm Hilâlî. Wahhâbî yang ketiga ialah Muhammad `Abdul Salâm Khadir al-
Shuqayrî – iaitu anak murid kepada Rashid Rida. Al-Shuqayrî adalah pengarang al-Sunan wal-Mubtada`ât al-Muta`alliqah bil-Adhkâr wal-Salawât yang beliau penuhi dengan pelbagai cerita-cerita dongeng yang tidak dapat disahkan, yang kemudiannya beliau mengecamnya

(3) Sepakat (ijma’) di kalangan sekalian ulama’ Mazhab Shâfi`î.19
(4) Keenganan menerimanya di kalangan ulama Mazhab Hanbalî yang terkemudian, dengan mengubah istilah Imam al-Shâfi`î dan Imam al-Izz ibn `Abdul-Salâm dengan masing-masing membawa maksud “bid‘ah dari segi bahasa” (bid‘ah lughawiyya) dan “bid ‘ah dari segi syarak” (bid‘ah shar`iyyah). Walaupun ini tidak tepat, mereka cuba memadankan apa yang Imam al-Shâfi`î' sebutkan sebagai “dibenarkan” dan “dikeji”.20

Inilah pendekatan yang sering dibawa oleh golongan Wahabi dengan memecah-mecahkan sesuatu isu sepertimana berlaku dalam isu bid‘ah ini, walaupun sepatutnya pendekatan sebenar ialah berpandukan klasifikasi yang telah dibuat oleh majoriti ulama’ (jumhûr).

Shaykh Muhammad Bakhît al-Mutî`î menyimpulkan:


“Bid ‘ah dari segi Syarak ialah yang sesat dan dicela; adapun bid‘ah yang para ‘ulama membahagikan kepada kepada Wajib dan Haram dan seterusnya itu, adalah Bid’ah dari segi bahasa, yang lebih luas dari Bid’ah dari Syarak kerana Syarak itu juga sebahagian darinya.”21


Al-Shawkânî merumuskan di dalam Nayl al-Awtâr iaitu asas kepada pembahagian bid‘ah adalah “baik” dan “buruk”, dan inilah pandangan yang paling kukuh dan kuat sekali.22

Memadailah apabila majoriti Imam Mujtahid dari kalangan Salaf menyatakan sedemikian berdasarkan dalil-dalil al-Qur'ân and Sunnah, walau apapun yang dikatakan oleh ulama’ terkemudian – samada oleh ‘ulama bakal murajjih’ seperti al- Shawkânî atau ‘ulama bakal penyunting’ seperti al-Shâtibî.

Kerana pendirian ini telah disepakati (ijma’) di kalangan para ulama’ Mazhab al-Shâfi`î dan juga selari dengan pesanan Rasulullah s.a.w agar kita mengikuti jalan para Mu’min dan mengikut pendapat [ulama’] ramai.

"Bukanlah seorang Imâm dalam `Ilmu apabila mengikut pandangan yang ganjil/terpencil (shâdhdh)".

- (`Abdul-Rahmân ibn Mahdî).

Dan Allah jua Yang Maha Mengetahui








Komentar Penterjemah.

Jelas sekali berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan di atas membuktikan bahawa para ulama’ di kalangan empat Mazhab Ahlul Sunnah wal Jamaah, secara majoritinya,(manakala ijma’ di kalangan ulama Mazhab Shafi’e) telah menerima pembahagian bahawa di sana ada dua bentuk bid‘ah, iaitu yang ‘baik’(hasanah) dan yang ‘buruk’ (sayyi’ah/dalalah). Ini sekaligus menolak pandangan ganjil dan keseorangan (shadhdh) Imam al-Shatibi dalam I’tisomnya, yang menentang pembahagian bid’ah sedemikian, dan juga pandangan mereka yang bersamanya yang mendakwa semua ‘perkara baharu’ itu bid‘ah sesat (bid‘ah dalalah/sayyi‘ah) belaka.

• Adapun mereka yang mengemukakan hujah-hujah para Imam Mazhab dan imam imam besar lain yang kononnya menolak dan menentang amalan yang dikatakan “bid‘ah”, penolakan para Imam itu sebenarnya adalah terhadap bid‘ah dalalah, iaitu bid‘ah yang bertentangan dengan Shari‘at, kerana para imam-imam ini dalam masa yang sama di tempat yang lain jelas sekali mengakui dan menerima wujudnya dua kategori bid‘ah: baik dan buruk.

• Dakwaan bahawa kalimah “bid‘ah” yang diungkapkan oleh Saidina Umar r.a hanya bermaksud ‘bid‘ah dari segi bahasa’, dan justeru itu sekalian para ulama telah tersilap faham merupakan suatu tanggapan memperlekehkan keilmuan dan kepakaran bahasa para ulama’ besar seperti Imam Shafi’e, Imam al-Ghazali, Imam al-Izz dan lain-lain, seolah-olah mereka ini jahil tidak tahu membezakan antara ‘bid ‘ah dari segi bahasa’ dan ‘bid‘ah dari segi syarak’. Imam Mazhab, Mujtahid Mutlaq, Hujjatul Islam, Sheikhul Islam dan Sultan al-‘Ulama’ adalah antara gelaran-gelaran yang diberikan terhadap para ulama ini sudah cukup menggambarkan kehebatan keilmuan dan kewibawaan mereka.

• Perlu kita akui bahawa para ulama’ silam teramat mengerti dan arif apa yang dimaksudkan oleh Saidina Umar r.a. dengan ungkapan kalimah “bid‘ah” itu . Mereka juga tahu dan amat mengerti bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri pernah melakukan Solat Terawih secara berjemaah untuk dua malam pertama di bulan Ramadhan sepertimana Hadith Aisyah r.a. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Namun mereka tetap menggunakan hujah perlakuan Saidina Umar itu untuk mengatakan bahawa di sana ada bid‘ah hasanah dan bid‘ah dalalah. Adalah sesuatu yang ganjil tiba-tiba ada ‘ulama mutaakhir termasuk ulama’ kurun ke-20 ini mula mempertikaikan dan menolak hujah para ulama besar seperti Imam Shafi’e, Imam Ghazali dan lain-lain yang telah menggunakan kata-kata Saidina Umar itu tadi sebagai dalil mereka.

• Setiap amalan dalam masyarakat kita perlu dinilai dan diteliti dengan cermat berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ada ketikanya amalan mereka itu merupakan bid‘ah hasanah, ada juga ketikanya bid‘ah dalalah dan khurafat yang mesti ditentang, dan ada juga ianya merupakan persoalan khilafiyyah (perbezaan pendapat di kalangan ‘ulama’). Adalah terlalu cetek pemikiran melabelkan semua perlakuan yang tiada nass khusus mengenainya, di dalam satu bakul yang sama sebagai bid ‘ah dalalah atau sayyiah.

*Dan Allah jua Yang Maha Mengetahui*
_______________________________________________________________________

1. Diriwayatkan dari Harmala oleh Abû Nu`aym dengan sanad dari Abû Bakr al-Al- jurrî dalam Hilyat al-Awliyâ' (9:121 #13315=1985 edisi. 9:113) dan dinukilkan oleh Abû Shâma dalam al-Bâ`ith `alâ Inkâr al-Bida` wal-Hawâdith (edisi Riyadh 1990, hal. 93), Ibn Rajab dalam Jâmi` al-`Ulûm wal-Hikam (hal. 267= edisi Zuhaylî. 2:52= edisi Arna'ût, 2:131=sahîh), Ibn Hajar dalam Fath al-Bârî (edisi 1959, 13:253), al-Turtûshî dalam al-Hawâdith wa al-Bida` (hal. 158-159), dan al-Shawkânî, al-Qawl al-Mufîd fî Adillat al-Ijtihâd wa al-Taqlîd (edisi 1347/1929 hal. 36).

Riwayat dari Saidina `Umar disebut oleh Imam Mâlik dalam al-Muwat a' dan al-Bukhârî dalam Sahîh Bukhari.
2. Diriwayatkan dari al-Rabî` oleh al-Bayhaqî di dalam Madkhal dan Manâqib al-Shâfi`î beliau (1:469) dengan sanad sahih sepertimana yang disahkan oleh Ibn Taymiyyah dalam Dâr' Ta`ârud al-`Aql wa al-Naql (hal. 171) dan melalui al-Bayhaqî oleh Ibn `Asâkir dalam Tabyîn Kadhib al-Muftarî (edisi Kawtharî, hal. 97). Dinukilkan oleh al-Dhahabî dalam Siyar (8:408), Ibn Rajab dalam Jâmi` al-`Ulûm wal-Hikam (p. 267= edisi Zuhaylî. 2:52-53=edisi Arna'ût. 2:131 sahîh), dan oleh Ibn Hajar dalam Fath al-Bârî (1959 ed. 13:253).

3. Al-Haytamî, al-Tabyîn fî Sharh al-Arba`în (hal. 32)
4. Ibn al-`Arabî, `âridat al-Ahwadhî (10:147)
5. Cf. al-Lacknawî, Iqâmat al-Hujjah (hal. 12)
6. Al-Bayhaqî, Manâqib al-Shâfi`î (1:469)
7. Al-Ghazzâlî, Ihyâ' `Ulûm al-Dîn (1:276)
8. Ibn al-`Arabî, `A rid at al-Ahwadhî (10:146-147)

9. Ibn Hazm, al-Ihkâm fî Usûl al-Ahkâm (1:47)

10.Diriwayatkan dari Jarîr ibn `Abd Allâh al-Bajalî oleh Imam Muslim, al-Tirmidhî, al-Nasâ'î, Ibn Mâjah,Ahmad, dan al-Dârimî. Juga diriwayatkan dengan kalimah yang hampir sama dari Abû Hurayrah oleh Ibn Mâjah and Ahmad; dari Abû Juhayfah oleh Ibn Mâjah; dan dari Hudhayfah oleh Imam Ahmad.

11. Diriwayatkan dari al-`Irbâd. ibn Sâriyah oleh al-Tirmidhî (hasan sahih), Abû Dâwûd, Ibn Mâjah, Ah}mad, al-Dârimî, Ibn Hibbân (1:178-179 #5 sahîh.), al-Hâkim (1:95-97= edisi 1990 1:174-177) – menyatakan ianya sahih, sementara al-Dhahabî mengesahkannya – dan di dalam al-Madkhal ilâ al-Sahîh. (hal. 80-81), al-âjurrî dalam al-Sharî`ah (hal. 54-55#79-82= hal. 46 sahîh), Ibn Abî `âsim di dalam al-Sunnah (hal. 29 #54 sahih.), al-Tahâwî di dalam Mushkil al-âthâr (2:69=3:221-224 #1185-1187 sahih), Muhammad ibn Nasr al-Marwazî di dalam al-Sunnah (hal. 26-27 #69-72 sahîh.), al-Hârith ibn Abî Usâma dalam Musnadnya (1:197-198), al-Rûyânî dalam Musnadnya (1:439), Abû Nu`aym dalam Hilyat al-Awliyâ' (1985 ed. 5:220-221, 10:115), al-Tabarânî dalam Musnad al-Shâmiyyîn (1:254, 1:402, 1:446, 2:197, 2:298) dan al-Kabîr (18:245-257), al-Bayhaqî dalam al-Sunan al-Kubrâ (10:114), al-Madkhal (hal. 115-116), al-I`tiqâd (hal. 229), dan Shu`ab al-‘mân (6:67), al-Baghawî yang mengesahkan ianya hasan dalam Sharh al-Sunnah (1:205 #102 isnâd sahih), Ibn al-Athîr dalam Jâmi` al-Usûl (1:187, 1:279), Ibn `Asâkir dalam al-Arba`în al-Buldâniyyah (hal. 121), Ibn`Abd al-Barr dalam al-Tamhîd (21:278-279) dan Jâmi` Bayân al-`Ilm (2:924 #1758) di mana beliau mengesahkan ianya sahih, dan lain-lain.

12. Ibn al-Athîr, al-Nihâya (1:79 ‘b-d-`).

13. Ibn `Abd al-Salâm, al-Fatâwâ al-Mawsiliyyah (hal. 129).

14. Ibn `Abd al-Salâm, al-Qawâ`id al-Kubrâ (2:337-339) cf. al-Nawawî dalam al-Adhkâr (cetakan Thaqâfiyyah. hal. 237) dan Tahdhîb al-Asma' wal-Lughât (3:20-22), al-Shâtibî dalam al-I`tisâm (Beirut, 1:188), al-Kirmânî in al-Kawâkib al-Darârî (9:54), Ibn Hajar dalam Fath. al-Bârî (13:253-254), al-Suyûtî, mukaddimah beliau pada Husn al-Maqsid dalam al-Hâwî lil-Fatâwâ; al-Haytamî, Fatâwâ Hadîthiyya (hal. 150), Ibn `âbidîn,n - Radd al-Muhtâr (1:376) dan lain-lain.

15 . Al-Nawawî, Tahdhîb al-Asmâ' wal-Lughât (3:20-22).
16. Ibn Hajar, Fath. al-Bârî (cetakan 1959 5:156-157= cetakan 1989 4:318).

17. Al-Kirmânî, al-Kawâkib al-Darârî Sharh Sahîh al-Bukhârî (9:54), Ibn `âbidîn, H âshiya (1:376, 1:560); al-Turkmânî, al-Luma` fîl-Hawâdith wal-Bida` (Stuttgart, 1986, 1:37); al-Tahânawî, Kashshâf Istilâh.at al-Funûn (Beirut, 1966, 1:133-135); al-`Aynî, `Umdat al-Qârî dalam al-Himyarî, al-Bid`at al-Hasanah (hal.152-153).

18. Al-Turtûshî, Kitâb al-Hawâdith wa al-Bida` (hal. 15, hal. 158-159); Ibn al-Hajj, Madkhal al-Shar` al-Sharîf (Cairo, 1336/1918 2:115); al-Qarâfî, al-Furûq (4:219) cf. al-Shâtibî, al-I`tis âm (1:188-191); al-Zurqânî, Sharh al-Muwat a' (1:238).

19. Abû Shâma, al-Bâ`ith `alâ Inkâr al-Bida` wa al-Hawâdith (Riyad: Dâr al-Raya, 1990, hal. 93, cetakan Cairo hal. 12-13) dan juga apa yang ditelah disebut sebelum ini. Perhatian: “ijmâ` adalah lebih menyeluruh dari “ittifâq” dan ianya mengikat dari segi hukum

20. Ibn Rajab, al-Jâmi` fîl-`Ulûm wal-Hikam (2:50-53), dan Ibn Taymiyyah memperkatakan tentang bid`ah dalam kitab beliau Iqtidâ' al-Sirât. al-Mustaqîm Mukhâlafat Ashâb al-Jah îm. Ini juga merupakan pendirian Ibn Kathîr, lihat tafsiran beliau pada ayat 117 Surah al-Imran, dalam Tafsîrnya. Beliau sependirian dengan gurunya, Ibn Taimiyyah.
21. Bakhît, Fatâwâ Hadîthiyyah (hal. 205).

22. Al-Shawkânî, Nayl al-Awtâr (4:60).