BILIK2

Monday, April 11, 2011

Uzlah Orang Biasa..

"TIADA SESUATU YANG SANGAT BERGUNA BAGI HATI SEBAGAIMANA UZLAH UNTUK MASUK KE MEDAN TAFAKUR"
Alhikam-12, Sheikhuna Ibnu Athaillah Assakandari.

Dalam kehidupan ini, manusia tidak lepas dari sebarang permasalahan. Seringkali, bila selesai sesuatu masalah, masalah lain menyusuli. Terkadang manusia dalam mencari solusi terhadap masalah yang melanda, timbul pula masalah optional, rantaian dari masalah pokok, iaitu kebuntuan aqal dalam mencari solusi masalah.

Doktor kadangkala buntu aqalnya bila berhadapan dgn penyakit yang jarang ditemui. Guru merasa rimas dan buntu dalam mendidik pelajarnya menggapai pelangi kejayaan. Si ayah luluh jiwanya mengenangkan kenakalan dan buruk adab sang anak. Pekerja pejabat merasakan stress dengan timbunan kerja yang melelahkan. Ketua negara tak mampu melelapkan mata kerana masalah negaranya belum selesai. Student universiti, dalam menyelesaikan kerja kursus yang diamanahkan oleh pensyarah, terkadang menemui kebuntuan untuk menyiapkan kerja kursus tersebut. Para saintis pula buntu aqalnya bila berhadapan dengan sesuatu yang diluar logik aqalnya. Ini merupakan contoh-contoh masalah yang dihadapi segelintir manusia. Masing-masing dengan permasalahan tersendiri.

Ketahuilah bahawa kerunsingan,resah gelisah , luluh jiwa dan stress yang dihadapi dalam menghadami masalah kehidupan adalah berpunca dari kebuntuan aqal dan hati yang sentiasa berbolak balik. Yang mana hati itu sememang fitrahnya sentiasa berbolak balik. Sabda Rasulullah SAW maksudnya:"Sesungguhnya hati itu terlebih dahsyat bolak baliknya daripada periuk yang berada di atas api, bilamana menggelegak sesuatu didalamnya".


Kalam Hikmah dari Sheikhuna Ibnu Athaillah As Sakandari diatas memberi petunjuk kepada orang yang gagal mencari jawapan dengan kekuatan akalnya. Yang tidak tenang hatinya. Jalan yang disarankan ialah uzlah atau mengasingkan diri dari orang ramai. Jika dalam suasana biasa akal tidak mampu memecahkan kubu kebuntuan, dalam suasana uzlah, hati mampu membantu akal untuk bertafakur, merenungi perkara-perkara yang tidak mampu difikirkan oleh akal kerana pengaruh luaran ketika berada dalam kehidupan seharian dan menjalankan aktiviti kebiasaan.

Apakah itu Uzlah?

Umumnya, pengertian uzlah itu dari sudut bahasa ialah menjauh dan menghindar dari sesuatu (ta'azzala anissyai'i).Muhammad Abdullah Darraz dalam bukunya 'Dustur al-Akhlaq fi al-Quran' berpendapat bahwa uzlah merupakan pengasingan diri yang dilakukan oleh seseorang ke tempat sunyi,di dalam kota ataupun di luar. Hal ini dilakukan kerana menurutnya penduduk kota tidak berprilaku baik, sehingga boleh membuatkannya terjebak dan terpengaruh,jika tidak menghindarinya. Uzlah yang dilakukan tidaklah berlaku selamanya, iaitu apabila sudah merasa mantap dan bersedia untuk kembali pada masyarakat, maka ia harus kembali.

Pada pengertian ini haruslah difahami, bahawa uzlah ialah suatu cara untuk menenangkan kecelaruan hati dan aqal seseorang yang berpunca dari pengaruh keadaan setempat, yang penuh dengan kepelbagaian ragam manusia sekelilingnya yang boleh mempengaruhi jiwa dan aqal untuk cenderung kepada unsur-unsur negatif.Dimana, unsur-unsur negatif inilah yang membawa segala masalah dan kebuntuan aqal dalam menanganinya.

Pembahagian Uzlah

Dalam konsep tasawwuf yang menurutku lebih dekat pada pengertian uzlah. uzlah itu ialah:

" Sunyi dengan Allah dalam kesibukan dunia, Sibuk dengan Allah dalam kesunyian dunia"

Dalam pengertian ini, uzlah dibahagikan kepada dua bahagian.


1.Uzlah hati (sunyi dengan Allah dalam kesibukan dunia)

Secara fizikalnya kita tidak mengasingkan diri dari orang ramai, bahkan kita selalu hadir dalam aktiviti hidup seharian kita dan aqal kita tetap bekerja bersama orang lain sebagaimana biasa, namun hati kita harus tetap sunyi dari itu semua. Hati kita harus tetap sunyi, yang ada hanyalah ingatan kita kepada Allah. Jadi uzlah kita dalam kesibukan dunia adalah dengan mengosongkan hati dari kesibukan dunia itu sendiri sehingga menjadi sunyi dan hanya Allah yang hadir di dalamnya, sehingga sunyinya adalah bersama Allah. Semestinya, seharusnya dan idealnya uzlah yang seperti itu berjalan terus menerus tanpa batasan waktu sebagaimana para arifin yang telah mencapai kekekalan dalam penyaksian mereka kepada Allah.


2. Uzlah hati dan jasad (sibuk dengan Allah dalam kesunyian dunia)

Ketika seseorang sedang bersendirian, berada di suatu tempat yang sepi, sejenak menarik diri dari kesibukan atau pun memang sengaja berniat uzlah dengan mengasingkan diri [dengan syarat,izin dan petunjuk dari guru yang mursyid] maka ketika dalam kesunyian itu, hatinya harus sibuk dengan mengingati Allah di dalamnya. Dalam kesunyian itu, di sana pasti selalu ada Allah disamping anggota tubuh menjalani ibadah-ibadah yang zahir seperti solat,membaca AlQuran berzikir dan lain-lain. Hati dan jasad 'bekerja' untuk Tuhan seia sekata, tanpa ada kerja yang lain daripada ibadah, yang tidak dapat dilakukan ketika berada dalam keramaian manusia.

Uzlah hati dan jasad ini adalah yang menepati apa yang dikehendaki oleh Sheikhuna Ibnu Athaillah dalam kalam hikmah ini. Aktiviti uzlah ini bukanlah uzlah sebagai satu cara hidup yang berterusan tetapi ia adalah satu bentuk latihan kerohanian bagi memantapkan rohani agar akalnya dapat menerima pancaran Nur Qalbi kerana tanpa sinaran Nur Qalbi tidak mungkin akal dapat memecahkan kebuntuan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Bagi para sufi, uzlah membantu jiwa dan aqal bagi memahami hal-hal ketuhanan yang halus-halus, bagi memperolehi iman dan tauhid yang hakiki

Natijah Uzlah

Natijah atau faedah uzlah menurutku dapat dirasakan pada dua keadaan. Pertama, ketikamana sedang menjalani penguzlahan. Antaranya sepertimana yang disebutkan oleh Imam Alghazali dalam kitabnya yang masyhur iaitu 'Ihya Al Ulumuddin',iaitu hati menjadi tenteram dan senang menjalankan hak-hak pengabdian tanpa ada unsur-unsur luar yang mengganggu perjalanan ibadah. Selain itu, diri ini dapat terhindar dari dari melakukan larangan-larangan Allah yang biasanya dilakukan oleh orang ramai disebabkan pergaulan seperti riya’, mengumpat meninggalkan perintah membuat kebajikan dan menjauhi dari melakukan kemungkaran, meniru-niru tabiat dan akhlak yang buruk atau perbuatan-perbuatan yang jelek dari kawan-kawan yang jahat atau seumpamanya.

Kerana perkara-perkara sebegitulah yang menjauhkan kita daripada Allah. 'Jauh dari Allah', itulah sebenar-benarnya punca segala masalah. Inilah sebab utama yang mengakibatkan kebuntuan dalam menangani masalah kehidupan.Sedangkan Allah SWT telah berfirman yang bermaksud " Tidaklah Allah memberatkan diri (seseorang itu) kecuali barang apa yang mampu ditanggungnya"(AlBaqarah:286)

Natijah kedua yang dapat dirasai setelah kembali kepada kehidupan kebiasaan selepas menjalani latihan penguzlahan. Dengan latihan uzlah yang berkualiti, menghasilkan hati dan aqal yang bercahaya, disimbahi nur keimanan. Hati yang sangat tenteram, tenang dan damai. kerana disana (hati) berada 'beserta' Tuhannya. Latihan kerohanian dan amal ibadah yang dijalani dalam uzlah, memberi bekas padanya (hati). Dengan hati dan aqal yang sebegini, bila kembali kepada kehidupan sehariannya, dapatlah menghadapi segala permasalahan hidup. hati menjadi tetap dengan pendirian. Aqal pula melangkah ketahap kewarasan yang mutlak,mampu bertafakkur membuat perkiraan yang bernas dan penuh berhikmah, kerana Nur Ilahi menjadi sumber kepada ketajaman aqal dan ketenangan hati.

Begitulah kekuatan dan kebijaksanaan yang lahir dari latihan semasa uzlah. Tanpa latihan dan persiapan yang cukup seseorang tidak dapat masuk ke dalam medan tafakur aqalnya dalam keadaan yang tenteram. Orang yang masuk ke dalam medan ini tanpa persediaan dan kekuatan akan menemui kebuntuan. Jika dia masih juga merempuh tembok kebuntuan itu dia akan berisiko besar jatuh ke dalam jurang kegilaan.

Uzlah Kita...Orang Biasa

Orang yang insaf dan menyedari akan kepentingan uzlah akan mengikuti jalan yang dipelopori oleh Rasulullah s.a.w dan diikuti oleh para sahabat ini iaitu memisahkan diri dengan semua jenis kesibukan terutamanya pada satu pertiga malam yang akhir.Ini adalah salah satu uslub kita beruzlah. Disiang hari, kita sibuk menjalani kehidupan sehari-hari, bekerja memenuhi keperluan untuk hidup didunia. Dimalam hari, kita bersunyi-sunyian dengan Allah S.W.T. Bertahajjud, berzikir, berdoa.Ketika itu, Tidak ada hubungan dengan orang ramai. Tidak dikunjung dan tidak mengunjungi. Tidak ada surat khabar, radio dan televisyen. Tidak ada perhubungan dengan segala sesuatu kecuali perhubungan dengan Allah s.w.t.


Kita juga sebagai nanusia,yang beriman kepada Allah diperingatkan supaya mengurangkan kecenderungan hati berhubungan dengan kehidupan dunianya semata-mata dan menumpukan hubungan hati kepada Allah s.w.t . kerana inilah kunci dalam menyelesaikan segala kebuntuan. Lihat saja Rasulullah SAW dan para Sahabat R.anhum. Hati mereka tidak berpisah lagi dengan Allah s.w.t setelah memperolehi iman, walau jasad mereka sibuk mengurus permasalahan dunia. Mereka mampu menyelesaikan masalah dengan tenang kerana hati mereka disimbahi Nur Ilahi. Kesibukan menguruskan urusan harian tidak membuat mereka lupa kepada Allah s.w.t walau satu detik pun.Pendek kata, Jasad bersama insani, Hati bersama Ilahi.

Kepenatan dan keletihan sememangnya adat dalam melaksanakan pengabdian.Sememangnya memerlukan mujahadah yang berterusan. Namun ingatlah akan janji Allah pada firmanNya yang bermaksud: "Sekiranya kamu menolong Allah (pada urusan agama), nescaya Allah akan menolong kamu..". Dalam firmanNya lagi maksudnya:"Dan (orang beriman) yang bersungguh-sungguh atas (jalan) Kami, pastilah akan Kami bukakan jalan-jalan (rahsia-rahsia) Kami..".

Maka..Jika kamu memikirkan tentang dirimu dan menyedari tujuan hidupmu sebagai hamba, maka beruzlahlah!. Jika kamu memikirkan tentang dirimu dan menyedari tugasmu sebagai khalifah yang memakmurkan bumi ini dan menyelesaikan sekalian masalah diri dan umat manusia, maka beruzlahlah!.Kerana..."TIADA SESUATU YANG SANGAT BERGUNA BAGI HATI SEBAGAIMANA UZLAH UNTUK MASUK KE MEDAN TAFAKUR"

No comments:

Post a Comment