BILIK2

Saturday, January 8, 2011

Kehadiran Hati Dalam Kebersamaan Ilahi


Sheikhuna (guru kami), Sheikh Yusuf Al-Hasani pernah berkata: “Garis pemisah yang membezakan antara zikir dan kelalaian ialah: kehadiran hati bersama Allah s.w.t. (hudur maa Allah).”

Sesungguhnya, rasa zikir itu sendiri ialah, mengingati Allah s.w.t.. Ia bermula dengan zikir lisan (menyebut nama Allah s.w.t. dengan lidah), seterusnya zikir hati (kehadiran hati bersama Allah s.w.t.) dan seterusnya zikir sirr (bersama dalam musyahadah Allah s.w.t. dan kebersamaanNya setelah fana).

Imam Ibn Athoillah As-Sakandari r.a. berkata: “Kamu zikir dengan lisan tanpa kehadiran hati bersama Allah s.w.t. itu lebih baik daripada kamu meninggalkan zikir sama sekali. Boleh jadi, dengan zikir lisan tanpa kehadiran hati tersebut, akan membawa kepada zikir dengan kehadiran hati setelah itu.”

Seseorang yang sudah merasai kelazatan zikir (mengingati Allah s.w.t.) dalam muroqobah (kewaspadaan hati terhadap pandangan Allah s.w.t. kepadanya), akan sentiasa ingat kepadaNya walaupun tanpa lidah yang menyebut namaNya. Ini merupakan suatu zikir zauqi (dalam bentuk perasaan) di mana seseorang itu rasa diawasi oleh Allah s.w.t.. Inilah yang dipanggil dengan kehadiran hati bersama Allah s.w.t..

Ia merupakan natijah daripada perpindahan Ismullah (nama Allah s.w.t.) ke dalam hati seterusnya diterjemahkan dalam bentuk kebersamaan denganNya secara muroqobah (kewaspadaan). Pada tahap ini, akal memainkan peranan yang penting dalam menjaga kebersamaan dalam muroqobah tersebut. Hati pula memainkan peranan dalam menyebut namaNya secara sirr (dari sudut hati) dan lidah pula, digunakan untuk menguatkan rasa kebersamaanNya tersebut, tatkala menyebut namaNya.

Kehidupan ini antara kelalaian dan kehadiran hati bersamaNya. Setiap kelalaian akan menjauhkan kita daripada Allah s.w.t. dan setiap kehadiran hati akan menghampirkan kita kepadaNya.

Ketenangan hati, kebahagiaan hidup dan kelapangan jiwa hanyalah ada pada seseorang yang sentiasa dalam kebersamaanNya, samada dengan muroqobah (kewaspadaan terhadap pandangan Allah s.w.t. terhadap dirinya) ataupun dengan musyahadah (menyaksikan Allah s.w.t. dalam kebersamaanNya) yang merupakan kemuncak kebersamaan denganNya.

Allah s.w.t. berfirman: “Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”. Ingat itu tempatnya ialah dalam pemikiran dan hati. Lisan sebagai pembantu agar membentuk ingatan kepadaNya di dalam akal dan seterusnya di dalam hati.

Apa yang penting, sentiasalah menghampirkan diri denganNya dalam rangka mengingatiNya. Lakukanlah ketaatan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan kepadaNya, kerana ikhlas merupakan jambatan utama dalam membentuk hubungan kebersamaan denganNya. Ramai orang beramal, tetapi tanpa ikhlasan, sehingga amal tersebut tidak mampu membuatkannya lebih menghampiri Allah s.w.t., bahkan menjauhkannya daripadaNya. Ini kerana, dia beramal kerana ianya sudah menjadi kebiasaan baginya. Maka, ibadat itu baginya sekadar adat. Apabila sedemikian, maka kelazatan dalam beribadah tidak dirasai, kerana ibadah yang dilakukan pada hakikatnya, bukan untuk Allah s.w.t., tetapi untuk dirinya sendiri, samada untuk melegakan hati takkala merasa diri tidak membuat kewajiban, tetapi bukan menumpukan amalan kepada Allah s.w.t., yang menjadi matlamat ibadah dan seluruh kehidupannya.

Jadi, apabila ibadahnya terbantut kepada adat semata-mata, ia semakin mengkaburi hakikat kawujudan dirinya. Walaupun dari sudut syariat, dia sudah menunaikan ketaatan, tetapi rahsia syariat, iaitu kelazatan dalam ketaatan, tidak dikecapinya kerana syariat itu dilakukan sebagai adat. Jadi, ikhlaslah dan jujurlah dalam beribadah kepadaNya, semoga dengan itu, akan menjadi jambatan menuju ke kebersamaanNya dengan bantuanNya.

Seseorang yang ingin mengingati seseorang atau sesiapa sahaja, pasti dia akan selalu bertemu dan berbicara dengannya. Jadi, sesiapa yang ingin terus mengingati Allah s.w.t., maka hendaklah dia selalu bertemuNya dalam solat, dan selalu mendengar bicaraNya daripada firman-firmanNya yang kita baca. Bacalah Al-Quran selalu, dengan niat untuk mendengar apa yang Allah s.w.t. ingin sampaikan atau bicarakan kepada kita setiap hari. Dengan niat tersebut, bukalah lembaran Al-Quran dan bacalah di mana sahaja lembaran yang dirasakan kuat keinginan untuk membacanya. Pada ketika itu, dengan niat sebegitu, insya Allah, lafaz-lafaz Al-Quran yang kita baca, menjadi permulaan bagi interaksi antara kita dengan Allah s.w.t.. Akhirnya, Allah s.w.t.-jika Dia kehendaki- akan mencampakkan perasaan atau zauq yang lebih mendalam, terhadap kefahaman ayat-ayat yang dibaca, seolah-olah ayat-ayat tersebut ditujukan khas untuk kita yang membaca.

Dengan hal sedemikian, seseorang dapat menguatkan lagi ikatan hubungan kehambaanNya. Lakukan ketaatan dengan penuh rasa diperhatikanNya, keranaNya, nescaya, pada ketika itu, akan bertambah kuat rasa kerinduan untuk bertemu denganNya dalam kebersamaanNya. Jadikan amalan itu kehambaan kita kepadaNya, bukan sebagai pembina status diri dalam pandangan diri sendiri (contoh, solat banyak untuk rasa diri telahpun solat banyak. Bila baca Al-Quran, untuk rasa diri baik kerana baca Al-Quran dan sebagainya). Lakukanlah segalanya kerana Allah s.w.t. dan untukNya, nescaya akan terbit kehadiran hati bersamaNya. Itulah hakikat zikir dalam kehidupan seseorang hamba, kepada Tuhannya.

Wallahuwalyyutaufiq

Nukilan: Al Fadhil Ust Mukhlis

No comments:

Post a Comment