BILIK2

Saturday, January 8, 2011

Mencintai...Dicintai

Merasakan ‘dekat’ dengan Khaliq,satu ahwal (rasa) yg sgt kompleks. Payah dicari, sukar diperolehi. Walaupun bergedung2 ilmu didada, belum tentu mencapai kedekatan ini. Jika kita perhalusi keadaan kita, terutama kita yg mendalami ilmu agama, terkadang terlepas pandang terhadap usaha utk meraih kedekatan ini. Maka sebab itulah kita lihat, ada yg memperdagangkan agama, ada yg hanya pandai bercakap ttg agama,bahkan ilmu agama yg dipelajari bagi sesetengah orang hanyalah sebagai modal utk mendapat sanjungan orang, meraih kedudukan tinggi, memenangi perdebatan dan yg sewaktu dengannya. Alangkah ruginya! bersusah payah mempelajari ilmu agama semata-mata untuk tujuan yg sedemikian. ‘Sesat dalam terang’ kata orang.

Dekat mengiringi erti kasih,sayang,rindu, cinta. Mereka yang berkasih, jika berjauhan merasai dekat dengan kekasihnya. Walaupun jauh dipandangan mata. Jika berhampiran, mereka saling merindui walau sering bertemu setiap hari.Saya secara peribadi terkesan dengan hadith Nabi SAW yg bermaksud: ” Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman: “Brg siapa yg berbuat aniaya bagiKu seorang wali Allah, nescaya Aku benarkanlah bagi memeranginya. Tiadalah berhampir diri kepada hambaKu dengan suatu yg sgt2 Aku kasihi (melainkan) daripada apa yg Aku fardhukan atasnya, dan melazimi hambaku menghampirkan diri kepadaKu dengan amalan-amalan ‘nafil’ (sunat), hingga Aku kasih akan ia…...”. ( Riwayat Bukhari ).

Antara penjelasan hadith ini ialah, Keutamaan menunaikan ibadah yg dituntut (diwajibkan) oleh Allah SWT mendahului ibadah yg sunat. kerana ia adalah hak kehambaan kita terhadap Allah SWT. tidak boleh tidak, kena laksanakan. Syarat utama pengakuan keimanan seseorang kepada Allah SWT. Tanda mutlak kita hamba, dan Allah Tuhan kita.

Menunaikan suruhan yg wajib, sememangnya kewajipan kita sebagai hambaNya yg beriman. Justeru, bagaimana pula dgn amalan yg sunat? kebanyakan daripada kita terlepas pandang akan nilai amalan sunat ini. Malah terungkap dari lidah sesetengah org; “Alaah.. yg ni sunat saja, tak buat pun takpe..” sedangkan amalan-amalan nawafil (sunat) juga disebutkan dlm hadith ini. Yang merupakan tanda cinta hamba kepada Tuhannya. Sehinggalah Allah pun mengasihinya.

Seorang majikan mempunyai dua orang pekerja. sama pangkat, sama gaji mereka berdua. disuruh kepada kedua orang pekerja tersebut membeli durian dipasar malam. pekerja pertama membeli durian yg bagus dan terus dipersembahkan kepada majikannya. pekerja kedua pula juga membeli durian untuk majikannya. dibeli ditempat yg sama, duriannya sama bagus kualitinya dengan yg pertama, tetapi pekerja itu mengeluarkan dahulu isinya, diletakkan di sebuah piring yg bersih kemudian barulah dipersembahkan pada majikannya disediakan pula dengan minuman dan air utk mencuci tangan. Kedua-dua pekerja itu telah melaksanakan tanggungjawab mereka. tinggal lagi pekerja yg kedua ada menambahkn piring, air mencuci tangan dan minuman. Jelas menunjukkan kasih sayang pekerja itu kepada tuannya. berbanding dengan yg satu lagi. Justeru, tidak layakkah ia memperolehi kasih sayang tuannya?.

Begitulah seseorang hamba yang mengasihi Allah. Disamping menunaikan hak kehambaan, diiringi pula hadiah yang bertatahkan permata cinta. Iaitulah amalan nawafil. bersolat (solat sunat), membaca Alquran, berpuasa, berzikir. Tanpa mengharapkan balasan, tanpa kepentingan apa-apa, melainkan untuk meraih kedekatannya dengan Allah. Supaya suatu masa nanti ia dapat melihat Allah, cinta agungnya. Walaupun ganjaran demi ganjaran dijanjikan Allah kepada hamba yg melakukan sesuatu amalan, ‘demi kerana cinta’ itulah sebab utama. Inilah niat paling luhur, Tahap keikhlasan paling tinggi dalam mengerjakan sesuatu amalan.Maka layaklah ia memperolehi cinta Allah.

Kesimpulannya, apabila kita mencintai Allah, maka pasti diri kita dicintai. Jika cinta makhluk ada penamatnya, samada gembira, atau kecewa. Tapi mencintai Allah pasti dibalasNya dengan cinta yang tiada batasan. Cinta yang ada permulaan, tapi tiada padanya pengakhiran.Demikian inilah nilai sebenar amalan-amalan sunat. Teramat mahal dan tidak boleh dipandang enteng. Menjadi bukti cinta kasih seseorang hamba kepada Allah. Sehinggalah Allah pun mengasihinya.

Wallahuwaliyuttaufiq

Qurbah Islamic Centre
man_7071@yahoo.com

No comments:

Post a Comment